31 July 2013

N.V Senembah Maatschappij


Si Mbelang Cuping dan Si Mbelang Pinggol



Di separuh utara Pulau Sumatera, Pasai nampaknya adalah tempat pertama yang menghasilkan lada (pada awal abad ke-15) (24). Belum ditemui maklumat untuk memperkirakan dengan tepat waktu munculnya ladang lada di pesisir timur laut Sumatera (25). Baik Pires mahupun Mendes Pinto tidak mencatatkan lada sebagai bahan yang dihasilkan di daerah ini pada separuh pertama abad ke-16. Namun, sebuah sumber Portugis dari akhir abad ke-16 mengatakan bahawa lada yang dijual di Aceh itu sebahagiannya berasal dari pergunungan Aru (26). Sampai tahun 1682, tidak ada daghregister yang mencatat bahawa lada ditanam di pesisir timur laut Sumatera. Walaupun sudah terbukti bahawa penuaian lada sama sekali tidak merata dari semasa ke semasa, jika lada memang sudah ditanam pada masa itu, susah menjelaskan kenapa hal ini tidak dicatat oleh orang Belanda sepanjang empat puluh tahun pertama mereka memerintah di Melaka. Ketika tiba pada tahun 1860-an, pegawai-pegawai Belanda hanya mencatat bahawa suku-suku “Batak” di Sumatera bahagian utara sudah sejak bertahun-tahun hampir hanya menanam lada (27).

Catatan pertama yang meyakinkan itu berasal dari abad ke-18 dalam sebuah laporan Inggeris yang menyebutkan bahawa Langkat, yang bersempadankan Aceh, menghasilkan lada (28). Selain itu, menurut maklumat yang diperolehi seorang pegawai Belanda pada waktu yang sama, dua orang yang berasal dari Siak, bernama Said Amat dan Said Ali, dikatakan telah diusir dan berpindah ke Langkat, tempat mereka dipercayai menjadi kaya kerana perdagangan lada (29). Menurut tradisi di kesultanan yang berdekatan dengan Aceh ini, penanaman lada telah dilakukan oleh penghijrah yang berasal dari pantai utara dan selatan Aceh sahaja (30). Yang jelas, pada awal abad ke-20, masih ramai orang Aceh yang menguruskan ladang lada di sebelah utara Langkat, khasnya di sekitar Teluk Aru (31). Nampaknya bukan halnya di Kesultanan Deli dan Serdang, di mana maklumat langsung terawal tentang ladang lada ini berasal dari John Anderson yang melawat daerah tersebut pada tahun 1823.

Namun, terdapat beberapa petunjuk yang memperkuatkan idea di mana Aceh telah berperanan dalam perkembangan tanaman lada di daerah Deli. Di dalam salasilah dan tradisi tempatan, terdapat empat orang yang meskipun tidak pasti dipandang sebagai perintis, namun setidaknya disebut-sebut sebagai pengusaha dinamik yang mengembangkan perkebunan-perkebunan lada. Dua di antaranya pernah berkunjung ke Aceh.

Yang pertama, Si Mbelang Pinggol, berasal dari Barus. Beliau pergi ke Aceh, menikahi puteri seorang pembesar tempatan. Sekembalinya ke Barus, Si Mbelang Pinggol melintasi dataran tinggi di utara Danau Toba. Dia membuka Kampung Barusjahe di daerah pedalaman Deli, kemudian Pertumbukan di lereng gunung di Kesultanan Serdang (32). Pertumbukan adalah sebuah tempat yang kaya dengan ladang lada pada separuh kedua abad ke-19 (*33). Si Mbelang Pinggol dipercayai merupakan nenek moyang para kejuruan daerah kekuasaan (urung) Senembah. Salah satu daripadanya, dari generasi ke-6 (*34) dilantik sebagai kejuruan pada tahun 1862. Menurut semua petunjuk ini, maka diperkirakan Pertumbukan telah dibuka pada separuh pertama abad ke-18.

Istilah Berkaitan dengan Barang Buatan Aceh

Ekspedisi-ekspedisi awal orang Barat ke pedalaman juga menunjukkan bahawa pasaran yang menerima barang yang berasal dari Aceh, bukanlah daerah pinggiran pantai sahaja. Pada tahun 1852-1853, van der Tuuk melawat daerah sebelah barat daya Danau Toba, beliau mengumpulkan sejumlah istilah atau ungkapan yang berkaitan dengan barang buatan Aceh. Pada separuh pertama abad ke-20, bahasa lisan di utara Danau Toba juga masih mengandungi istilah-istilah yang berkaitan dengan jenis pakaian atau senjata tajam buatan Aceh. 

Untuk kelompok pertama, contohnya ialah padang rusak, seluwar, nipes, dan uis beka buluh (dua jenis hiasan kepala daripada sutera yang sangat mahal dan dikenakan oleh para pembesar), serta tujuh lompat; kelompok kedua, contohnya ialah alamang, kelewang atau galewang, bawar, gadebang, dan rodos.


dikutip dari :
Sumatera Timur Laut dalam Ruang Aceh hingga Akhir Perang Aceh
DANIEL PERRET

Mein Sumatrabuch‎


KAARSBERG, HELGE
Mein Sumatrabuch
1923

Kaarsberg, Helge
Mein Sumatrabuch
 Berlin: August Scherl GmbH, 1925.